Friday, August 31, 2007

Aku Anak Malaysia


Sudah begitu lama saya tidak merakamkan isi hati dalam bahasa tanahairku tercinta. Hari ini, sempena hari kemerdekaan Malaysia yang ke-50, saya bertekad melafazkan ucapan SELAMAT HARI JADI MALAYSIA! dalam Bahasa Malaysia, walaupun kemahiran bahasa saya sudah agak luput kerana ianya jarang digunakan dalam komunikasi harian saya di Singapura selama sebelas tahun.

50 tahun sudah berlalu sejak detik pengisytiharan kemerdekaan oleh mendiang Tunku Abdul Rahman di Padang Pahlawan, Melaka (negeri kelahiran saya). Hari ini, padang bersejarah itu sudah tiada lagi; di tapaknya berdiri Dataran Pahlawan, sebuah kompleks membeli-belah yang melambangkan kemaraan negeri Melaka dan negara Malaysia ke arah pemodenan dan ekonomi dunia.

Dalam masa 50 tahun ini, rakyat jelata telah menikmati suasana keamanan dan kemakmuran. Tanpa usaha semua pihak, mahupun kerajaan atau rakyat, negara kita tidak mungkin dapat berdiri di pentas dunia sebagai ahli terhormat masyarakat dunia, suara kita tidak mungkin diberi pandangan ataupun perhatian sewajarnya.

Sebagai anak Malaysia, saya amat bangga dengan pencapaian negaraku tercinta setakat 50 tahun ini. Tanpa sebarang keraguan, saya pasti Malaysia dapat mencapai apa jua cita-cita ke arah Wawasan 2020. Maka, tidak memadai jika saya kata bahawa hari kebangsaan kita juga melambangkan hari kebanggaan Malaysia sebagai satu nusa dan bangsa.

Selamat Hari Kebangsaan Malaysia. Semoga keamanan dan kemakmuran sentiasa di sisimu dalam tahun-tahun selanjutnya.